Rabu, 11 Mei 2011

Bila Hati Berbicara. . .

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar..


Saat hiba mula bertandang, mulut tak mampu menutur bicara. 

Hati mula rancak mengatur kata. Namun semuanya hanya berbekas di kertas hati. Tak mampu diluahkan.

Pandangan dihantar kepada sahabat sekeliling, namun tak mampu untuk diluahkan. Bagaikan terkunci rapi mulut jua hati dari meluahkannya. Akhirnya, mutiara jernih menjadi teman. 

Ya Allah....

Aku mengorak langkah. 

Air wudhu' menyegarkan wajah yang suram. Sejadah dicapai.

Saat dahi mencecah bumi, akhirnya tumpah segalanya. Bagaikan tak mengerti apakah maksud sebenar air mata yang gugur laju membasahi sejadah. Hinanya diri di hadapan Tuhan Yang Esa. Hanya Dia yang mengerti segalanya.

Hati mula berbicara.


Ya Illahi,

Tiada Tuhan yang aku sembah melainkanMu
Sesungguhnya aku adalah hambaMu yang zalim

Ampunilah segala dosaku ya Allah
Sungguh, aku hambaMu yang zalim 

NikmatMu tak terhitung banyaknya
Namun aku sentiasa melakukan dosa
Hinanya diriku ya Allah


Ya Allah..

Betapa kumemohon segalanya dariMu
Sungguh aku malu padaMu ya Allah
Layakkah aku untuk meminta-minta dariMu
Sedang diriku sering melakukan maksiat padaMu
Hinanya diriku

Ya Habibi..

Aku menagih cintaMu
Namun aku menderhakaiMu
Aku mengharapkan kasih hambaMu yang mencintaiMu
Namun aku menderhakaiMu
Sungguh aku tidak layak meraih cintaMu jua cinta hambaMu

Ya Qawiy..

Aku lemah ya Allah
Aku tak mampu teruskan semua ini
Aku damba kekuatan dariMu 
untuk aku meneruskan perjuangan ini

Benar ya Allah
Aku tak mampu lakukan tanpa bantuanMu  
Aku rebah
Aku tersungkur
Aku tak mampu ya Allah

Ya Rabbi..

Sungguh Kau Maha Mengasihi hambaMu
Sungguh Kau Maha Mendengar rintihan hambaMu
Sungguh Kau mencintai ummat Muhammad
Perkenankanlah permintaan hambaMu yang hina dina ini ya Allah..

Saat hati berbicara.

Hanya Dia yang Maha Mendengar bicara hati. 

Hakikat seorang hamba, pasti akan kembali pada Tuannya.

Kadang insan sekeliling tak mampu memahami, namun Dialah tempat mengadu yang paling menakjubkan kerana Dia memahami tanpa bicara dari hambanya.


Air mata. . .


Kadang dikatakan sebagai suatu simbol lemahnya seseorang. Namun, ia adalah suatu kekuatan dan ketenangan yang luar biasa jika dihadapkan padaNya.

Kadang dibenci bila ianya jatuh berguguran. Namun itulah anugerah Allah pada insan yang bergelar hawa. Sinonim dengan halusnya jiwa seorang muslimah.

Bila hati berbicara.

Sujudlah padaNya. 

Sungguh, Dia rindu mendengar rintihan hambaNya.    

Sungguh, Dia rindu tangisan hambaNya.

Kembalilah kepada Yang Esa. .


Ahad, 1 Mei 2011

`Sebuah Kotak Cinta`



“Sudah berkahwin nanti, senanglah hati. Tidak perlu runsing-runsing lagi” kata Ali.

“Baju pun tak payah basuh sendiri. Sudah ada washing machine pelbagai guna!” sampuk Amir.

Semua ketawa.

Berderai-derai, meraikan hari-hari akhir bujangnya Ali.

Biar pun semua rakan ketawa, hati Ali ada gelisahnya. Dia tahu, pandangannya terhadap Alia, bakal isterinya itu, jauh lebih mulia daripada gurauan rakan-rakannya. Dia berharap agar perkahwinannya itu nanti akan menjadi mahligai hidup. Bayangannya banyak dibantu oleh drama, novel, dan kisah mulut ke mulut yang didengari selama ini.

Malah sebahagiannya adalah bayangan ciptaannya sendiri.

Perkahwinan itu indah.

KENANGAN LALU

Peristiwa gurau senda Ali bersama rakan-rakannya di kedai mamak itu sudah lama berlalu. Sudah lima tahun Ali dan Alia mendirikan rumahtangga. Mereka juga sudah dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel. Ia benar-benar seperti watak-watak mahligai hidup yang pernah dibayangkannya dahulu. Dua insan sebagai pasangan yang sempurna, sepasang cahaya mata, seorang lelaki seorang perempuan… mereka bahagia.

Sepatutnya.

Tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Ali melepak bersama rakan-rakannya, beliau gembira. Ketawa. Walaupun ketawanya tidak sampai ke lubuk hati, namun cukuplah sesi itu menjadi ‘panadol’ yang melegakan. Akan tetapi, apabila Ali pulang ke rumah, serabutnya datang semula. Melihat Alia, dan merenung keletah anak-anak, ia tidak lagi menyejukkan mata. Ia memanaskan emosi.

Apakah mengahwini Alia merupakan tindakan yang betul?

Jika cinta di luar perkahwinan banyak halangan, mengapa selepas halangan-halangan itu hilang, perkahwinan tidak memberi bahagia?

HAKIKATNYA

Dalam perkahwinan tiada cinta.

Ia seperti sebuah kotak yang kosong.

Cinta hanya ada dalam diri manusia.

Maka manusialah yang mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta.

Apabila manusia mula berhenti mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta, ia kembali menjadi sebuah kotak yang kosong.

Hukum perubahan, antara kebahagian dan kesengsaraan sentiasa Allah letakkan pada firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]

Perkahwinan, medan memberi.

Banyak mengambil kurang memberi, perkahwinan kembali menjadi kotak kosong, sebuah penjara!

copyright: ABU SAIF @ www.saifulislam.com