Khamis, 9 September 2010

berlabuh tirai ramadhan

bismillah..
Hari berganti hari, siang berganti malam, jam berganti saat, tanpa disedari Ramadhan 1431H mula melabuhkan tirai. Ya Allah pantas sungguh masa berlalu. Andai dapat diputar kembali waktu, terasa ingin sahaja berterusan berada di bulan penuh barakah, Ramadhan Kareem. Bulan yang dijanjikan pelbagai ganjaran tanda bukti Pemurahnya Sang Pencipta. subhanallah..


Namun malangnya menjadi tradisi masyarakat kita, malam Syawal disambut penuh girang dengan mercun. Bunyi yang sangat membingitkan. Kadang terasa seakan-akan tidak sabar meninggalkan Ramadhan. Ya Allah, ampunilah kami. Kegembiraan menyambut hari kemenangan umat Islam menyebabkan kami leka. Apabila dilihat di masjid, rata riti yang memenuhi saf adalah golongan-golongan tua yang diibaratkan hanya menunggu malaikat datang. Di mana pula muda-mudi? Ya Allah. Adakah terlalu asyik dengan kemeriahan sambutan eidulfitri? Astaghfirullah. Sama-sama koreksi diri.


Jika direnung kembali sorotan kisah-kisah anbiya' dan juga para sahabat, Ramadhan disambut penuh tanda kesyukuran dalam keadaan hati berbunga-bunga ingin mengejar dan mengaut segala 'tawaran mega' yang disediakan oleh 'Pembekal Utama'. Pemergian Ramadhan pula seakan-akan simpulan tali yang tersimpul utuh seutuhnya yang sukar dileraikan. Airmata kian berjujuran di saat-saat akhir Ramadhan. Terlalu susah dan sangat sedih akan pemergian Ramadhan. Namun, satu perkara yang perlu kita ambil ihtimam adalah, bersabitan juga dengan kisah pemergian Rasulullah S.A.W. bagaimana kita melihat sukarnya Saidina Umar jua sahabat-sahabat untuk menerima hakikat kewafatan baginda. Sehinggalah datangnya Saidina Abu Bakar berkata :
" Jika kamu beriman dengan Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat. Namun jika kamu beriman kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Yang Kekal Abadi selamanya."


Berikutan daripada pemergian Ramadhan kali ini, haruslah diingat bahawa kita beriman kepada Tuhan Ramadhan dan sesungguhnya Dia kekal selamanya. Tangisilah jika kita tidak mampu untuk memanfaatkan sebaiknya Ramadhan yang berkunjung tiba selagi nafas tidak terhenti. Tangisilah andai kita tidak berjaya memperoleh maghfirah dariNya melalui madrasah Ramadhan yang dijanjikan seluas-luasnya keampunan jua rahmat dariNya. Tangisilah dan insafilah wahai diri yang hina dina di hadapanNya.
"Sesunggunhya sia-sialah bagi mereka yang tidak mendapat keampunan dari Allah dengan berlalunya Ramadhan begitu sahaja."


Semoga madrasah Ramadhan yang dilalui dapat membentuk peribadi mukmin yang bertaqwa selaras dengan pensyariatan puasa Ramadhan oleh Allah S.W.T. Sesunggunya Ramadhan adalah tempat persinggahan sementara bagi meneruskan perjalanan panjang yang penuh onak liku.

'kedatanganmu dirai, pemergianmu dirindui..'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan