Sabtu, 11 September 2010

jiwa-jiwa yang berbaki;Subhanallah

Bismillah..

Saat-saat di pengakhiran Ramadhan, hati mula berbicara. Dapatkah aku berjumpa dengannya lagi pada tahun hadapan? Adakah ini Ramadhan terakhir buatku? Adakah aku tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang diampunkan dosa jua dilimpahkan rahmat? Ya Allah, pelbagai persoalan mula menyinggah di sanubari. Hati mula sayu, kolam airmata pula tidak mampu membendung lagi, lantas mutiara-mutiara jernih mula gugur di pipi tatkala takbir raya dilaungkan setelah usai solat Maghrib di terakhir Ramadhan. Ya Allah.. sayunya hati tika itu..

Alhamdulillah Allah masih memilihku untuk menjadi tetamu di rumahNya. Motorsikal dibonceng bersama abang menuju ke masjid. Bunyi mercun bersahut-sahutan tanpa menghiraukan ketenteraman ibadah para jemaah masjid. 'Astaghfirullah..ya Allah..' hati berbisik. Alhamdulillah, para jemaah melebihi separuh dari keluasan masjid. Alhamdulillah, masih ada jiwa-jiwa yang mencari cintaNya di saat kemeriahan Syawal. Subhanallah.. Setelah itu, imam masjid memberikan sedikit penerangan solat sunat tasbih. Sedang melafazkan kalam tasbih, tiba-tiba dentuman kuat mercun kedengaran. Agak memeranjatkan malah mungkin juga 'ubat' mengantok para jemaah. Usai solat, imam mengepalai bacaan doa. Ya Allah, tersentuh hati dengan bait-bait doa yang dilafazkan. 'ya Allah, perkenankanlah doa kami hambaMu yang hina dina ini.

Pagi Syawal berkunjung tiba. 'Ya Allah, RamadhanMu benar-benar telah berlalu,' hatiku berbisik sayu. Seakan tidak percaya sudah berada di bulan syawal. Masjid yang agak luas tidak dapat menampung bilangan jemaah Solat Sunat Eidulfitri sehingga imam mengumumkan ruangan akad nikah dibuka untuk jemaah muslimat. Subhanallah, moga-moga amalan berkunjung ke rumahNya berterusan di sepanjang pelayaran setelah melalui madrasah Ramadhan. Bersesuaian dengan kaifiyat solat berjemaah iaitu pahala digandakan kepada 27. Sungguh, PemurahnyaMu ya Allah.

Khutbah dibaca oleh Khatib, penuh bersemangat penuh penghayatan. Isi khutbah kali ini banyak menekankan kepada aspek persaudaraan sesama umat Islam. Manakan tidak, umat Islam kini kian berpecah-belah. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Orang Yahudi terpecah menjadi 71 golongan dan orang Nasrani terpecah menjadi 72 golongan, adapun umatku akan terpecah menjadi 73 golongan." (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai’ dan Ibnu Majah)

Dalam riwayat lain ditambahkan: “... kesemuanya berada dalam neraka kecuali golongan yang tetap berpegang teguh pada ajaranku dan ajaran para sahabatku.”

Doa yang dipanjatkan juga amat menyentuh hati Ya Allah, perkenankanlah permintaan kami. Usai segalanya, salam bersalaman sesama saudara. Hingga satu saat yang membuat hatiku betul-betul tersentuh;

"Haziq, Irfan, datang naik apa ke sini?" tanya datuk saudaraku apabila Haziq, adikku dan Irfan, sepupuku agak terkemudian sampai ke rumah datuk saudaraku berbanding kami.
"Datang jalan kaki," jawab Irfan bersahaja. Haziq tersenyum tanpa sebarang rasa marah walau kami agak sangsi kerana jarak dari rumah atok ke sana agak jauh.

Kami menikmati sedikit juadah 'soto' yang disajikan. Setelah itu, masing-masing bersalaman dan beredar memandangkan waktu untuk solat Jumaat makin menghampiri. Alhamdulillah, dapat duit raya.hehe

Aku membonceng motorsikal bersama abang manakala saudaraku yang lain dengan kereta. Jalan melalui perkuburan orang Islam. Aku memandang ke sisi kiri. Subhanallah, mataku terpaku pada dua sosok tubuh di sisi dua kubur. Mencabut rumput-rumput liar jua kemuncup di kubur tersebut dan berada di sisi kubur itu. Dua sosok tubuh yang kulihat adalah Haziq(darjah 5) dan Irfan(tingkatan 2). Kubur tersebut milik moyang kami. Irfan mengenakan Baju Melayu manakala Haziq pula mengenakan jubah serta serban di pagi raya. Bersahaja. Mungkin tarbiyah Ramadhan. Haziq dipanggil 'Tok Bilal Cilik' berikutan daripada azan Asar yang dilaungkannya di Masjid yang agak ramai jemaahnya pada suatu petang di bulan Ramadhan. Nyata suaranya menimbulkan persoalan di bibir penduduk kampung; 'Anak siapa azan tu?' 'Anak siapa lagi, anak 'Tok Nebe' Yie(penghulu kampung)'. Alhamdulillah Allah mengurniakan suara yang agak merdu untuknya. Moga-moga suaramu dapat menaut hati-hati syabab ke rumah Allah duhai adikku.

Kempen 'Jom Berserban' oleh masjid itu juga memikat hatinya jua penduduk kampung untuk turut sama memakai serban. Subhanallah. Moga-moga sunnah baginda berterusan ke akhirnya terutamanya dalam jiwa pemuda-pemudi Islam, ameen.

Alhamdulillah, masih ada jiwa-jiwa yang terikat dengan masjid dan amalan menziarahi kubur serta amalan-amalan lain di saat Islam di akhir zaman. Jiwa-jiwa yang berbaki inilah yang didambakan oleh ummah untuk membela Islam dan mengembalikan semula khilafah Islam suatu masa dulu.

Ingatlah duhai saudaraku, Islam tidak memerlukan kita tetapi kita yang memerlukan Islam.

Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 54:
" Wahai orang-orang yang beriman! Barang siapa di antara kamu yang murtad(keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatngkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka mencintaiNya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikanNya kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya), Maha Mengetahui."

Moga-moga kita menjadi syabab yang mampu berkhidmat untuk Islam. Andai terasa diri lemah, kembalilah kepadaNya, sungguh Dia Maha Menyayangi hambaNya. Dan sorotilah kembali sirah baginda serta para sahabat dalam menyebarkan risalah Islam dalam keadaan tentangan yang hebat dari musuh-musuh Allah. Moga mendapat redhaNya. Damba cintaMu ya Allah..

1 ulasan: